Virus Zika

posted in: Safety Info 0

Apa itu Zika?

Zika ialah penyakit yang disebabkan oleh virus Zika. Virus Zika dibawa oleh nyamuk Aedes, iaitu nyamuk yang juga menyebarkan denggi dan chikungunya.

Walau bagaimanapun, tidak seperti denggi dan chikungunya yang hanya boleh tersebar melalui nyamuk, Zika juga boleh dijangkiti melalui hubungan seks tanpa perlindungan dengan seseorang yang telah dijangkiti. Maka seorang suami yang menghidap Zika boleh menjangkitkan penyakit ini kepada isterinya.

Pakar-pakar juga percaya ada kemungkinan besar Zika boleh dijangkiti melalui pemindahan darah, namun lebih banyak kajian diperlukan.

Zika tidak boleh tersebar melalui sentuhan biasa dengan orang yang telah dijangkiti.

Kementerian Kesihatan masih terus menjalankan ujian untuk mengesan virus Zika. Setakat ini, tiada sampel yang positif ditemui di Malaysia. Pihak-pihak berkuasa kesihatan juga telah meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan berikutan laporan jangkitan Zika di Singapura.

 

zika2

 

Adakah benar Zika boleh menyebabkan kecacatan pada bayi dalam kandungan?

Telah diketahui bahawa virus Zika boleh meningkatkan risiko bayi dalam kandungan dilahirkan dengan kepala yang kecil (mikrosefali) atau kecacatan semasa lahir yang lain. Risiko mikrosefali didapati paling tinggi apabila jangkitan virus Zika berlaku dalam trimester pertama atau trimester kedua kehamilan, tetapi kita tidak pasti sama ada peringkat-peringkat kehamilan yang lain adalah betul-betul bebas daripada kecacatan yang dikaitkan dengan penyakit ini.

Walau bagaimanapun, tidak semua wanita hamil yang menghidap Zika akan melahirkan bayi dengan mikrosefali. Para saintis masih lagi membuat kajian mengapa sesetengah bayi terjejas dan sesetengah yang lain tidak.

Di Brazil, iaitu negara yang telah mengalami penyebaran serius penyakit ini, wanita-wanita yang menghidap Zika dan mereka yang tinggal di kawasan di mana terdapat banyak kes Zika berlaku sedang dipantau rapi oleh doktor-doktor. Imbasan ultrasound sepanjang kehamilan digunakan untuk memantau saiz kepala bayi.

 

TANDA DAN GEJALA VIRUS ZIKA 1

 

Apakah simptom-simptom Zika?

Zika boleh mengambil sehingga 12 hari untuk muncul selepas seseorang itu terkena gigitan. Simptom-simptomnya adalah ringan, tetapi boleh termasuk yang berikut:

  • ruam
  • gatal-gatal
  • demam
  • konjunktivitis (mata merah)
  • sakit di belakang mata
  • sakit kepala
  • sakit-sakit otot
  • sakit belakang pinggang
  • sakit sendi atau keradangan

Simptom-simptom ini berlangsung selama dua hingga tujuh hari.

Jika anda sedang hamil dan anda nampak ada bintik-bintik merah pada badan anda, jumpalah doktor. Ujian darah akan memberitahu doktor sama ada itu adalah Zika ataupun penyakit lain.

 

zika3

 

Bagaimanakah Zika dirawat?

Tiada rawatan untuk Zika, tetapi mengambil paracetamol dan meminum banyak air boleh membantu meredakan simptom-simptomnya. Ibuprofen tidak digalakkan, dan dalam sebarang kes ia tidak dipercayai selamat digunakan semasa hamil. Secara umumnya, kebanyakan pesakit Zika akan sembuh sendiri.

Anda berkemungkinan besar akan menerima rawatan untuk meredakan simptom-simptom Zika, memandangkan tiada penawar untuk penyakit ini.

Minum banyak air dan banyakkan berehat.

Tanyalah doktor anda mengenai ubat anti keradangan tanpa steroid untuk melegakan kesakitan dan antihistamin untuk melegakan kegatalan. Jangan sesekali ambil sebarang ubat tanpa nasihat doktor.

Anda mungkin perlu tinggal di hospital jika anda mengalami simptom-simptom yang serius atau terdapat komplikasi lain.

 

Bagaimana saya boleh tahu sekiranya saya menghidap Zika?

Hanya doktor sahaja boleh mengenal pasti sama ada anda menghidap Zika atau penyakit lain seperti denggi, sitomegalovirus ataupun chikungunya. Ujian darah akan mengesahkan perkara ini.

Tidak mustahil juga bagi seseorang itu menghidap zika dan denggi pada masa yang sama.

Kegatalan teruk pada badan juga boleh jadi tanda bagi komplikasi kehamilan yang berkaitan dengan hati, atau ia boleh jadi tanda alahan. Oleh sebab itulah penting bagi anda meminta nasihat doktor jika anda mempunyai simptom-simptom ini.

 

zika4

 

Setelah menghidap Zika, adakah saya akan lali terhadapnya sepanjang hayat?

Ya. Sebaik sahaja anda menghidap Zika, anda akan lali terhadapnya sepanjang hayat.

Walau bagaimanapun, anda masih boleh menghidap penyakit-penyakit bawaan nyamuk yang lain termasuklah chikungunya dan empat jenis denggi.

Setakat ini, para saintis telah mengesan satu sahaja jenis virus Zika. Jika satu lagi jenis Zika dijumpai, anda mungkin tidak lali terhadap jenis yang kedua ini.

 

Bagaimanakah saya boleh melindungi diri daripada Zika?

Setakat ini, tiada vaksin untuk Zika. Kaedah pencegahan utama ialah dengan menghapuskan nyamuk dan tempat-tempat pembiakannya terutamanya pada musim tengkujuh.

Pihak-pihak berkuasa kesihatan telah mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia supaya mengelak daripada melawat negara-negara yang mengalami jangkitan Zika.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *