Keselamatan Elektrik

posted in: Safety Info 0

Tenaga elektrik adalah merupakan keperluan asas yang penting dalam kehidupan kita. Kita sedia maklum tenaga elektrik tidak dapat dilihat dan oleh sebab itu bahaya yang bakal menimpa adalah tidak dapat dikesan dengan segera. Perangkaan kemalangan menunjukkan setiap tahun banyak kemalangan elektrik berlaku di rumah-rumah di Malaysia yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan malah kematian. Kebanyakan kemalangan yang berlaku boleh dielakkan jika langkah keselamatan asas dipatuhi ketika menggunakan tenaga elektrik di rumah. Tujuan artikel ini ialah untuk memberi maklumat tentang bahaya elektrik serta keselamatan elektrik dan panduan untuk menggunakan tenaga elektrik dengan selamat di rumah.

 

 

PANDUAN PENTING:

  • Jika anda mengesyaki terdapat kerosakkan pada pendawaian elektrik apabila menyentuh sesuatu peralatan elektrik, sila dapatkan khidmat daripada pihak yang bertauliah untuk menjalankan pemeriksaan, kerja memperbaiki dan pengujian dengan segera.
  • Jangan sekali-kali membenarkan atau terbabit dalam pemasangan wayar haram kerana ia boleh membahayakan nyawa penghuni rumah.
  • Jangan sekali-kali bekerja dalam kedudukan yang terlalu dekat dengan talian elektrik atas dan berhati-hatilah bila menggunakan tangga atau objek-objek tinggi dan panjang yang boleh mengalirkan arus elektrik.
  • Jangan membina rumah atau bangunan terlalu dekat dengan talian elektrik atas,jika ada keraguan sila hubungi pihak yang berkenaan yang berdekatan dengan anda .
  • Jika anda perlu melakukan sebarang aktiviti berdekatan dengan talian elektrik, anda mesti mematuhi Peraturan Elektrik, terutamanya syarat-syarat berkaitan dengan jarak kelegaan keselamatan bekerja.

PANDUAN KESELAMATAN ELEKTRIK

DALAM KEDIAMAN ANDA:

  • Jika anda bukan seorang juruelektrik yang layak, anda tidak boleh memasang pendawaian rumah, atau memindahkan lampu, suis, soket elektrik, mengubahsuai litar elektrik, menjalankan kerja penyelenggaraan elektrik atau menggantikan penyambungan wayar yang usang pada peralatan. Pastikan anda dapatkan khidmat seorang juruelektrik yang bertauliah untuk melakukan pemeriksaan keselamatan elektrik .
  • Pastikan anda menggunakan penyambungan wayar yang sesuai dengan keperluan beban elektrik. Pastikan ia dipasangkan dengan palam tiga pin yang diluluskan oleh SIRIM.
  • Buka sambungan gulungan wayar sepenuhnya sebelum anda menggunakannya supaya ia tidak menjadi terlalu panas bila digunakan.Jangan membebankan soket atau punca kuasa elektrik dengan penyambungan terlalu banyak peralatan elektrik menerusi penggunaan adaptor elektrik.
  • Bila mengecat di sekitar pemasangan lampu,jangan alihkan plet lampu kerana ini akan mendedahkan wayar hidup walaupun suis lampu dipadamkan, sebaliknya lekatkan ia dengan pita pelekat. Jika ingin memasang jubin di sekeliling pemasangan lampu, suis atau punca kuasa, dapatkan khidmat juruelektrik berlesen untuk mengalihkan plet lampu dan tutup bekalan elektrik ke wayar yang terdedah sebelum kerja dimulakan.
  • Selalu pasang suis-suis keselamatan seperti Peranti Arus Baki (RCD) bila menggunakan peralatan elektrik di luar rumah dan pastikan ia diperiksa dengan kerap.
  • Air dan bekalan elektrik tidak boleh bercampur. Jangan sekali-kali membawa peralatan elektrik mudah alih ke dalam bilik air atau kawasan basah atau menggunakan alat-alat elektrik dalam keadaan basah.
  • Sebelum menggerudi periksa jika terdapat wayar elektrik disebalik dinding, lantai dan siling. Jika gerudi besi tersentuh wayar yang tersembunyi, ia boleh menyebabkan kemalangan yang dahsyat. Oleh itu, sentiasa memastikan laluan wayar terlebih dahulu, khususnya berhati-hatilah bila menggerudi di sekeliling punca kuasa elektrik dan suis-suis lampu.
  • Pemasangan wayar elektrik di rumah anda hendaklah diperiksa dan diuji sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun oleh Kontraktor Pemasangan Elektrik yang mempunyai sijil sah yang dikeluarkan di bawah Peraturan Elektrik dan pastikan Sijil Pemeriksaan dan Pengujian Pemasangan Voltan Rendah dikeluarkan oleh kontraktor tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *